MENU
 

Asas pentadbiran Bandar Kuala Terengganu bermula dengan terbentuknya sistem pentadbiran pihak berkuasa tempatan yang dikenali sebagai Jumaah Bandaran Kuala Terengganu. Pentadbiran Bandar Kuala Terengganu kemudiannya diletakkan di bawah Majlis Perbandaran Kuala Terengganu pada tahun 1979. Majlis Perbandaran Kuala Terengganu telah memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan persekitaran Kuala Terengganu dengan menyediakan kemudahan prasarana moden dan perkhidmatan yang berkesan bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan hidup warganya.

Meskipun penduduknya amat sinonim dengan aktiviti perikanan namun kegiatan ekonomi lain turut berkembang maju terutama kegiatan pertanian, pembuatan kraftangan seperti tembaga, songket, sutera, batik dan pembuatan bot tradisional. Keunikan seni budaya tradisional dan kreativiti kemahiran seni ukiran warisan penduduk Kuala Terengganu sejak berzaman telah menyumbang kepada industri perlancongan Negeri Terengganu.

Keindahan alam semula jadi anugerah Ilahi di bumi bertuah ini amat mengagumkan. Situasi ini merupakan aset yang tidak ternilai dan telah menjadikan Kuala Terengganu destinasi pelancongan yang terkenal. Penganjuran Piala Monsoon atau ‘The Formula One of Sailing’ yang merupakan siri pelayaran profesional mulai tahun 2005 menjadikan bandar ini dikenali oleh masyarakat antarabangsa.

Dari sebuah pusat perdagangan utama di masa silam, Kuala Terengganu telah mengalami pembangunan pesat yang terserlah pada masa kini setanding dengan Bandar-bandar utama yang lain. Pembangunan Kuala Terengganu berbeza dengan Bandar-bandar lain kerana permodenan tetap mengekalkan ciri warisan dan seni bina Islam.

Pengiktirafan ini membawa makna yang besar yang akan menjurus kepada pembangunan yang lebih pesat untuk kesejahteraan seluruh penduduk. Panorama indah lagi unik telah menjadikan Kuala Terengganu berubah wajah. Wajah yang tidak pernah diimpikan oleh generasi terdahulu.

Masjid Kristal yang dibangunkan di Pulau Wan Man sebagai Taman Tamadun Islam pula menempatkan sebuah masjid Kristal, 21 replika monumen Islam dan sebuah pusat pameran yang memaparkan seni bina teknologi Islam, di antaranya ialah Masjidil Haram, Taj Mahal dan Kul Sharif di Takarstan, Rusia.

Lapangan Terbang Sultan Mahmud telah dinaiktaraf sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa. Dengan kemudahan yang serba lengkap, lapangan terbang ini akan dapat memberi perkhidmatan yang terbaik disamping dapat memberi keselesaan kepada pelancong dalam dan luar negeri.